Friday, January 22

MENGIKUT NAFSU

PETIKAN DARI MAKALAH US UMAR M NOR DALAM MAJALAH SOLUSI

Pilih Keinginan atau Keperluan ?


Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab “Al-Zuhd” bahawa Umar bin Al-Khattab suatu hari berkunjung ke rumah anaknya, Abdullah. Tiba-tiba dia melihat sepotong daging di rumah itu. Dia lalu bertanya, “Mengapa ada daging di sini?” Abdullah menjawab, “Aku teringin memakan daging, jadi aku membelinya.” Umar lalu berkata, “Apakah setiap kali teringin sesuatu, engkau terus memakannya? Cukuplah pembaziran yang dilakukan seseorang, setiap kali dia menginginkan sesuatu lalu memakannya.”

Imam Ahmad juga meriwayatkan dalam kitab yang sama bahawa suatu hari Umar berjumpa dengan Jabir bin Abdillah yang sedang membawa daging dari pasar. Ia lalu bertanya, “Apa yang engkau bawa itu, wahai Jabir?” Jabir menjawab, “Ini daging. Aku membelinya sebab teringinkan hendak makan daging.” Sekali lagi Umar berkata, “Apakah setiap kali menginginkan sesuatu, engkau membelinya?”

Nafsu

Ucapan Umar Al-Faruk yang diakui Baginda Nabi s.a.w sebagai sangat pandai memilih kebenaran dan kebatilan ini adalah tepat untuk dijadikan panduan hidup. Beliau mengajarkan agar kita tidak menjadikan “keinginan” sebagai asas konsumsi melainkan “keperluan”. Sebab hakikat keinginan adalah nafsu serakah yang tidak mengenal batasan. Setiap kali diberi, ia akan meminta yang lain. Begitulah seterusnya sehingga jika selalu dituruti, ia akan menghantar manusia kepada gaya hidup mewah yang berakhir dengan pembaziran.

Sementara itu, asas keperluan intinya menjadikan akal rasional sebagai pembuat keputusan. Dengan kecerdasannya, akal akan memilih benda-benda yang penting dan yang kurang (atau sama sekali tidak) penting. Akibatnya, seseorang yang berpegang kepada asas ini dapat mengawal perbelanjaannya dengan baik dan selamat daripada kegawatan financial.

Prinsip ini memperlihatkan ketinggian fiqah Sayidina Umar. Sebab tidak terhitung anjuran Islam agar kita membangkang keinginan nafsu. Al-Quran bahkan menyebutkan bahawa sikap memperturutkan hawa nafsu merupakan gaya hidup kafir yang tidak selari dengan prinsip keislaman. “Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka.” (Al-Najm: 23)

Al-Quran juga menceritakan bahawa orang kafir menjadikan nafsunya sebagai tuhan selain Allah (Al-Furqan: 25). Jika begitu, membangkang keinginan nafsu merupakan persaksian tauhid yang sangat tinggi sehingga tepat ucapan Imam Sahl bin Abdillah Al-Tustari: “Allah tidak disembah dengan suatu amalan yang lebih baik daripada membangkang keinginan nafsu.”

Kisah tokoh Islam yang berkaitan dengan hal ini sangat banyak kita temui dalam buku-buku sejarah. Sayidina Umar, yang kisahnya membuka tulisan saya kali ini, terkenal dengan sangat pandai mengawal nafsu sehingga tidak pernah mencela makanan yang dihidangkan kepadanya.

Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab Al-Zuhd bahawa pada suatu hari, pelayan Umar yang bernama Aslam berkata dalam hati: “Hari ini, aku akan membuat Umar mencela makanan.” Lalu dia menghidangkan segelas susu yang masam untuknya. Seketika meminum susu ini, wajah Umar berubah. Namun dia tidak mencela minuman itu, sebaliknya berkata, “Duhai betapa lazatnya rezeki Allah s.w.t.”

Anaknya, Abdullah bin Umar, sejak ditegur ayahnya tadi selalu meninggalkan sesuatu kerana Allah setiap kali mencintainya. Nafi, pembantunya, berkata, “Setiap kali Ibn Umar mencintai sesuatu dari harta miliknya, dia akan melepaskan sesuatu itu. Suatu hari dia menunggang seekor unta dan merasa sangat menyukainya. Dia segera turun dari unta itu dan berkata, wahai Nafi, lepaskan pelana ikatan unta ini dan jadikanlah ia korban untuk Baitullah.”

Prinsip hidup ini terus hidup dalam masyarakat Islam hingga berabad-abad kemudian. Ulama Baghdad yang terkenal, Sari bin Abdillah Al-Saqathi, pernah berkata, “Sejak tiga puluh tahun yang lalu, nafsuku selalu menuntut untuk (memakan) wortel yang dicelup ke dalam madu, namun aku tidak menurutinya.”

Balasan Meninggalkan Nafsu

Saya sedar bahawa ajakan untuk meninggalkan nafsu sangat ringan di lidah namun sangat berat diwujudkan dalam perbuatan. Apatah lagi hati manusia selalu berusaha memperoleh kelazatan sebanyak-banyaknya. Namun hal tersebut menjadi ringan sekiranya kita meyakini bahawa meninggalkan nafsu pada hakikatnya adalah menukar kelazatan kecil dengan kelazatan lain yang lebih besar.

Jangan salah faham. Saya tidak membicarakan tentang kelazatan syurga yang hanya boleh dinikmati selepas meninggal dunia. Insya-Allah kita akan mendapatkan itu juga nanti. Tetapi saat ini saya sedang berbicara tentang kelazatan “syurga dunia” yang dapat dirasakan sebelum nyawa kita berpisah daripada jasad. Ibn Athaillah al-Sakandari berkata, “Tuhan kita sangat pemurah. Tidak mungkin kita bekerja untuknya sekarang namun ia membalasnya nanti.”

Percaya atau tidak, anda dapat merasai balasan daripada amalan meninggalkan nafsu yang anda lakukan di dunia ini sebelum menerima pahalanya di akhirat kelak. Balasan minima yang segera anda rasakan adalah kenikmatan kembali kepada Allah dan berdamai dengan hati nurani. Ibrahim Al-Khawas berkata: “Barang siapa yang meninggalkan keinginan nafsu, namun ia tidak merasakan (kelazatan) balasannya dalam hati, bererti ia tidak jujur dalam meninggalkannya.”

Balasan lain yang sedang menunggu seperti yang dijelaskan oleh seorang sahabat Nabi s.a.w yang bernama Ubay bin Ka’b katanya: “Tidaklah seorang hamba meninggalkan sesuatu kerana Allah, melainkan Allah akan memberinya sesuatu yang lebih baik daripada itu dari arah yang tidak disangka-sangka.” Ucapan ini diriwayatkan oleh Ibn Al-Mubarak dalam kitab Al-Zuhd.

Bagi pemuda yang suka melihat sesuatu yang haram, sila renungi ucapan sahabat Nabi s.a.w yang diakui ketinggian ilmunya ini. Lalu ditinggalkannya kerana kelazatan maksiat yang sedang menjerat itu hakikatnya membunuh anda. Dan yakinlah, kelazatan yang lebih besar (hanya Allah yang tahu apa bentuknya) sedang menunggu anda sebagai balasan yang Allah berikan kepada orang yang meninggalkan nafsu kerana-Nya.

Jika anda merasa seronok menghisap rokok, cubalah meninggalkan keseronokan ini kerana Allah. Nescaya keseronokan lebih besar dan halal akan menghampiri anda sebagai gantinya dari Allah.

Jika anda berasa nikmat mempraktikkan gaya hidup bebas daripada aturan agama tanpa hukum halal dan haram, sudah sampai saatnya anda merenungkan kembali kenikmatan itu. Jika ianya membawa kepada kenikmatan sebenar, sila anda memperturutkan nafsu anda hingga akhir hayat. Tapi jika anda yakin nikmat itu hanya akan berakhir dengan kesengsaraan, segera tinggalkan kenikmatan semua itu dan beralihlah kepada kenikmatan hakiki yang sedang menunggu anda.

Akhirnya,

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barang siapa yang meninggalkan sehelai pakaian (kerana dorongan) tawaduk kerana Allah, padahal dia mampu memakainya, maka Allah akan memanggilnya di hadapan semua makhluk lalu membiarkannya memilih baju-baju iman yang dia kehendaki.”

Sering kali seseorang membeli sehelai pakaian bukan kerana memerlukannya untuk menutup aurat atau menjaga daripada panas atau sejuk. Dia membelinya hanya kerana pakaian itu pernah dilihatnya di dalam sebuah majalah fesyen. Begitu juga sikap sebahagian orang terhadap telefon bimbit, beg tangan, kereta, komputer riba dan aksesori lain yang mewarnai hidup kita. Hadis di atas menjelaskan balasan akhirat untuk orang yang bersedia meninggalkan kebiasaan buruk ini.

Akhirnya, sering-seringlah bertanya kepada diri sendiri ketika anda sedang memandang sesuatu benda di pusat beli belah, “Apakah saya ingin atau perlu membeli barang ini?” Lalu ucapkan kata-kata Sayidina Umar dengan jelas, “Cukuplah pembaziran yang dilakukan seseorang, setiap kali ia menginginkan sesuatu yang dia membelinya.” Wallahu a’lam.

1 comment:

Search This Blog